Tuesday, August 19, 2008

PUTERA

(Kertas kerja ini telah saya bentangkan dalam Kolokium PUTERA sempena ulang tahun ke-25 PUTERA yang diadakan di hotel Dynasty di Miri pada 10-12 Jun 2005)

Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA): Sesuku Abad Memugar Kesinambungan Sastera di Sarawak

Oleh William Chan Khun Neng

Pengenalan

ISTILAH “memugar” dalam konteks yang saya gunakan dalam tajuk pembicaraan ini menggunakan makna kedua perkataan “pugar” seperti pentakrifan Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002) yang membawa maksud “melakukan atau mengerjakan dengan sungguh-sungguh.”

Penjelasan ini penting agar istilah berkenaan tidak dikelirukan dengan pentakrifan yang satu lagi yang membawa makna “memperbaiki atau memperelok semula, membaharui, memulihkan.” Sensitiviti ini penting, bagi saya, kerana ketika kelahiran PUTERA dalam tahun 1980, tradisi sastera sudah pun wujud di Sarawak dan gerakan badan-badan penulis sudah cukup mantap sebelum itu, justeru tiada pembaikan, pemulihan atau pembaharuan yang diperlukan.

Sebelum PUTERA, telah wujud Angkatan Sasterawan Sarawak (ANSSAR) pada tahun 1962; Persatuan Bahasa dan Sastera Malaysia Sarawak (PEBAS) dalam tahun 1970; dan Angkatan Penulis dan Karyawan Malaysia Sarawak (Angkatan Karya) dalam tahun 1979. Kesemua badan ini berpangkalan di Kuching.

Memandangkan saiz negeri Sarawak amat luas (124,449 km persegi) jangkauan ANSSAR, PEBAS dan Angkatan Karya agak sukar diterima oleh ramai peminat dan penikmat seni di sebelah utara Sarawak pada ketika itu. Di Miri pada tahun 1970-an lagi, sudah ramai mereka yang berbakat dan berminat dalam kegiatan kesusasteraan. Mereka merasakan keadaan geografikal Sarawak tidak perlu menjadi penghambat kepada tekad mereka untuk menyertai bidang itu secara aktif, lantas tercapailah persetujuan dalam kalangan mereka ke atas gagasan untuk menubuhkan sebuah badan penulis sebagai wadah untuk menggiatkan gerakan kesusasteraan dari sebelah utara Sarawak.

Sejarah kelahiran PUTERA

PENDAFTARAN PUTERA dilulus secara rasminya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 4 April 1980, setelah usaha ke atas nama asalnya iaitu Gabungan Penulis Utara Sarawak (GUNTUR) yang digagaskan pada Julai 1979 ditolak oleh pihak ROS.

Hasrat untuk menubuhkan sebuah badan penulis di Miri diilhamkan oleh Jeli Bohari Biha, yang pada ketika itu bertugas sebagai editor Sesama Kita, risalah dalaman syarikat multinasional Sarawak Shell Berhad (SSB0 di Lutong. Semasa berada di Kuching sebelum itu beliau telah turut terlibat aktif dalam PEBAS sekitar awal 1970-an.
Muradi Amir, abang kepada Jeniri Amir, yang pada ketika itu bekerja di bahagian peralatan SSB merupakan antara orang pertama dihubungi Jeli, untuk membantu beliau mencari sesiapa yang berminat dalam bidang sastera di sekitar Miri untuk sama-sama membincang tentang penubuhan sebuah badan penulis. Selain Muradi, beberapa orang staf SSB lain seperti Abu Bakar Matassan, Amir Abdullah, Azizah Luntar, Jamilah Sahari, Hamlin Biha, Abang Idin Abang Dabet, serta beberapa nama lagi turut dihimpunkan untuk membantu dalam perbincangan penubuhan persatuan penulis baru itu. Beberapa orang guru, termasuk mereka yang ditugaskan dari Semenanjung Malaysia, juga diterima masuk keahlian mereka dalam badan penaja PUTERA pada peringkat awalnya.

Saya pada ketika itu berkhidmat sebagai guru sandaran di SK Lambir di Kampung Tunku Abdul Rahman. Kebetulan ketika itu saya giat penulis puisi yang kebanyakannya disiar dalam akhbar Sarawak Herald, selain Borneo Bulletin, majalah Jelita, Fantasi, Pelita Pelajar dan lain-lain. Saya dan Muradi memang sudah kenal antara satu sama lain pada ketika itu, lantas beliau pun menyampaikan hasrat Jeli untuk bertemu, yang saya terima dengan dada yang terbuka.

Pertemuan pertama diadakan di Kelab Shell Lutong (KSL) pada satu petang 7 Julai 1979. Kami sebulat suara memilih Abu Bakar Matassan sebagai Ketua Satu badan penaja persatuan, dengan Jeli sebagai Setiausaha Satu. Dipendekkan cerita, kami sering bermesyuarat selepas itu merancang pelbagai kegiatan dan pertemuan sesame peminat dan penikmat sastera di sekitar Miri.

Iklim berkarya yang kondusif

SEMANGAT ahli PUTERA pada peringkat awal penubuhannya meluap-luap kerana kebetulan iklim berkarya pada ketika itu cukup kondusif. Beberapa orang penulis sebelum ini telah bergerak secara individu menghasilkan karya mereka dari Miri seperti Benedict Talip, Ting Mee Ting, Talani Hanapi – sekadar menyebut beberapa nama. Hasil karya mereka sering berkemundang melalui Rancangan Sastera Di Radio terbitan RTM Sarawak, selain disiar dalam beberapa buah akhbar dan majalah tempatan mahupun di peringkat nasional. Berita mengenai wujudnya sebuah badan penulis dilihat sebagai satu wadah yang sesuai untuk mereka bertemu dan berkongsi pengalaman.

Kehadiran Jeli di Miri memberi suatu macam semangat kepada peminat dan penimkat sastera kerana ramai yang pernah mendengar suaranya berkumandang di radio mengendalikan rancangan sastera semasa beliau menjadi guru di SMK Tun Abang Haji Openg di Kuching sebelum beliau bertugas di SSB Lutong pada tahun 1975. Puisi beliau berjudul “Untuk Nurliza” disiarkan dalam Dewan Sastera dalam tahun 1971. Lagipun, beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa PEBAS di Kuching dan turut terlibat secara langsung dalam pengendalian Hari Sastera Kebangsaan Ke-3 dalam tahun 1974. Kesemua ini memberi suatu macam perangsang kepada mereka yang menganggotai PUTERA bahawa mereka bolehlah berkongsi pengalaman dengan seorang yang boleh dikatakan sudah ‘bertapak’ dalam dunia sastera.

Selain itu juga beberapa perkara yang menyumbang ke atas iklim berkenaan seperti berikut:
Dalam tahun 1974 PEBAS dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) berganding bahu menyelenggarakan Hari Sastera Ke-3 di Kuching, dengan biayaan yang cukup besar dri Kerajaan Negeri;
Sejak 1977 lagi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menubuhkan pejabat cawangannya di Kuching dan Kota Kinabalu, mengambil alih peranan Biro Kesusasteraan Borneo yang ditubuhkan pada 1959;
DBP cawangan Sarawak ditubuhkan dengan matlamat: (i) untuk memupuk minat dan penghayatan terhadap sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat di Sarawak; (ii) untuk membina bakat penulisan kreatif dan bukan kreatif dan meningkatkan ciptaan karya sastera kebangsaan di Sarawak; dan (iii) untuk memperbanyakkan bahan penerbitan sastera kebangsaan di Sarawak.
Sehubungan itu DBP cawangan Sarawak telah menjalankan beberapa bentuk kegiatan seperti: (i) Peraduan Menulis Sastera Kreatif dalam semua genre; (ii) memberikan bantuan khidmat nasihat, tenaga dan kewangan kepada persatuan-persatuan penulis, maktab perguruan dan sekolah yang mengadakan kegiatan seminar seminar, ceramah, bengkel penulisan, diskusi buku dan pementasan teater.

Semangat yang meluap-luap mengembang menjadi suatu macam ‘kerakusan’ dalam kalangan pemimpin dan ahli PUTERA untuk menggerakkan jentera sastera itu dengan menganjur kegiatan demi kegiatan. Sebaik menerima kelulusan rasmi pendaftaran PUTERA, terus diadakan Seminar Penulisan Kreatif dalam tahun 1980 di Kelab Shell Lutong, tempat mesyuarat pertama penubuhan jawatankuasa penaja PUTERA dahulu.

Ahmad Kamal Abdullah (KEMALA) dan Hamdan Yahya merupakan tokoh sasterawan kebangsaan yang awal diundang untuk memberi ceramah mereka. Acara itu berjaya membakar terus semangat ingin meneruskan kegiatan seni sastera di utara Sarawak pada ketika itu. Bersempena dengan seminar itu sebuah drama karya Hatta Azad Khan berjudul Mayat dipentaskan dan saya salah seorang pelakonnya.

Rentetan dari peristiwa itu kami berjaya menerbitkan buku-buku berikut:
Puisi-puisi PUTERA dalam tahun 1980 yang memuatkan 72 buah sajak karya 14 penyair;
Majalah Suararasa Anak-anak Seni Sarawak (SUKSES) dalam tahun 1981 dalam dua keluaran iaitu Jun dan Oktober;
Dongeng Kembara dalam tahun 1990; dan
Majalah Suarasa PUTERA dalam tahun 1991.

Dalam tahun 2000 saja PUTERA semakin ‘mengganas’ lagi dengan menerbitkan empat buah antologi puisi serentak iaitu Suara Merdeka (karya Jeli Bohari Biha), Menara Budi (William Chan Khun Neng), Mengenal Yang Asal (Abizai Abi) dan Alak Betatar (Poul Nanggang). Satu usaha yang cukup bermakna ketika PUTERA meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya.


Penulis mapan

‘KEGHAIRAHAN’ PUTERA dalam menganjurkan aktiviti-aktivitinya menemukan kami dalam jawatankuasa PUTERA dengan penulis-penulis tersohor yang bertugas di Miri pada ketika itu seperti Adi Badiozaman Tuah, Awangku Merali, Bedui Une – sekadar menyebut beberapa nama. Mereka ini dijemput menganggotai PUTERA. Oleh kerana perpindahan tugas mereka ke tempat lain, mereka tidak lama berada dalam PUTERA.

Dengan bantuan mereka itu kami berksempatan menganjurkan acara-acara seperti: (i) Bengkel Penulisan Cerpen dan Cerita Kanak-kanak dengan menjemput pembimbing Hamzah Hamdani dan Othman Puteh (1985); (ii) Dialog Borneo 1 di Maktab Perguruan Sarawak, Miri (1987); dan (iii) Perkampungan Puisi Kenyalang 1 di Mukah (1989).

Lewat kegiatan-kegiatan dianjurkan oleh PUTERA peminat dan penikmat sastera di Miri berpeluang bersemuka dengan penulis-penulis idola mereka termasuklah Saiee Dris, Jeniri Amir, Abang Patdeli Abang Muhi serta beberapa penulis dari Semenanjung Malaysia seperti Kemala, Othman Puteh, Hamzah Hamdani, Abdul Ghani Abdullah, Siti Zainon Ismail, A. Samad Said, Abdul Aziz H. M., T. Alias Taib, Dharmawijaya, A. Ghafar Ibrahim, Lim Swee Tin dan beberapa orang lagi.

Penubuhan Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS)

PADA 27 Mac 1982 beberapa orang wakil dari PEBAS, PUTERA dan Angkatan Karya bermesyuarat di Kuching dan sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan sebuah badan induk untuk memayungi semua persatuan penulis yang ada di Sarawak. Nama badan induk itu ialah Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS).

Dalam tahun 1984 GPPS menganjurkan Hadiah Penulis Shell-GPPS dan, bersama-sama dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) menganjurkan Hari Puisi Nasional Ke-9 di Sematan, Kuching. Tiga buah antologi puisi iaitu Sematan, Sayang Sarawak dan Lagu Malam diterbitkan oleh GPPS dalam tahun yang sama. Pada tahun 1985 GPPS diterima sebagai ahli kerabat GAPENA.

Penubuhan Unit Bahasa Malaysia (UBM)

SEMINAR Pelaksanaan Bahasa Malaysia di Sarawak diadakan pada 16-19 September 1980. Hasil dari resolusi seminar itu, Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju menubuhkan Unit Bahasa Malaysia (UBM) di Pejabat Ketua Menteri pada 17 Ogos 1981.

UBM menjadi urus setia bagi semua urusan berkait dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal di Sarawak. Ia bekerjasama dengan DBP cawangan Sarawak mengatur strategi menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu di sektor awam di seluruh jentera pentadbiran di peringkat bahagian dan daerah.



Perhatian DBP & GAPENA terhadap Sarawak

KESUBURAN kegiatan sastera di Sarawak yang dimanifestasikan oleh banyak kegiatan sastera serta penerbitan banyak buku ternyata sekali menambat perhatian pihak DBP dan GAPENA untuk terus membimbing penyuburan bakat di Bumi Kenyalang.

DBP dan GAPENA mengadakan satu acara yang cukup bermakna bagi peminat dan penikmat sastera di Sarawak seperti Bengkel Penulisan Kreatif Wilayah Sabah dan Sarawak yang diadakan dalam dua siri (Siri 1: 2-3 Mac 1982 dan Siri 2: 25-26 Oktober 1982).

Hasil dari bengkel lahir antologi cerpen Surat Dari Pulau (1985) memuatkan hasil karya 9 cerpenis Sarawak dan 7 cerpenis Sabah. Cerpenis Sarawak yang diketengahkan terdiri dari Benedict Talip, Hajijah Jais, Jais Sahok, Jong Chian Lai, Muhammad Dris, Noor Azlina Abdullah Jong, Shahri Abdul Rahman,Teresa Chong dan Zakaria Embi.

Perhatian DBP dan GAPENA ke Sarawak itu sering tidak mengabaikan ahli PUTERA. Setiap kali ada acara pasti PUTERA dikhabarkan dan dijemput menghantar wakil, baik untuk acara dalam negeri mahupun di luar seperti di Kuala Lumpur, Sabah mahupun di Wilayah Persekutuan Labuan, Indonesia dan Brunei.

Pendirian Kerajaan Negeri Sarawak

PADA 17 Mei 1985 Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud memutuskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri bahawa:

“Kita telah mengambil keputusan supaya tidak lagi menyambungkan tempoh dengan mana bahasa lain akan juga menjadi bahasa rasmi. Dengan keputusan demikian, maka tidaklah pihak-pihak di luar Dewan yang mulia ini boleh menuduh bahawa kita tidak ada keazaman untuk benar-benar meletakkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, sama, sejajar dengan negeri-negeri lain. Kita, selepas menolak ke tepi kemungkinan tuduhan demikian berlaku, terus memandang apa yang kita boleh buat untuk menjayakan supaya Bahasa Malaysia akan menjadi bahasa yang disukai dan digunakan oleh rakyat sebagai bahasa perpaduan.”

Ekoran daripada keputusan tersebut maka Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haji Awang Zaidell telah mengumumkan bahawa mulai 1 Jun 1985 Bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi yang tunggal bagi negeri Sarawak.

Pada September 1985 program Bulan Bahasa dilancarkan secara besar-besaran di Padang Merdeka, Kuching. Program ini berterusan sehingga 1998.

Mulai tahun 1999 apabila diwujudkan program Bulan Bahasa dan Sastera di peringkat kebangsaan maka di Sarawak nama program ditukar kepada Bulan Bahasa dan Sastera Negara peringkat negeri Sarawak. Program ini mendapat peruntukan kewangan besar dari Kerajaan Negeri Sarawak dan diadakan secara bergiliran dalam setiap bahagian pentadbiran negeri. Dalam semua kegiatan itu PUTERA sering dirujuk dan bantuan pemimpin dan ahli PUTERA selalu diminta. Jeli, Abizai Abi dan saya sendiri banyak kali dijemput menjadi hakim Sayembara Deklamasi Puisi di peringkat daerah.

Hamzah Hamdani sebagai Mentor

TIDAK dapat tidak disebut, Hamzah Hamdani berperanan yang amat signifikan dalam perkembangan sastera di Sarawak. Keakraban beliau dengan PUTERA tidak dapat dinafikan. Ketika beliau ditugaskan sebagai Ketua Unit Bahasa dan Sastera dari 1 Januari 1983 hingga 30 April 1996 Hamzah berpendirian:

“Keinginan saya ialah untuk melihat para penulis Sarawak mencapai kemajuan yang tinggi dalam kualiti ciptaan mereka, standing dengan penulis-penulis segenerasi dengan mereka di peringkat kebangsaan.” (Hamzah Hamdani, 2004: (xii).”

Sepanjang tempoh tersebut beliau telah bertanggungjawab menjadi editor Majalah Dewan Perintis untuk bacaan kanak-kanak dan remaja dan Buletin Bahasa yang menjadi sumber maklumat kegiatan DBP cawangan Sarawak dalam bidang bahasa, sastera dan penerbitan.

Hamzah juga berjaya menyelenggarakan buku-buku berikut:
Antologi puisi (3 buah) – Tuhan, Kita Begitu Dekat (antologi puisi rohaniah, 1984); Gema Membelah Gema 7 (antologi Hari Puisi Nasional Ke-9, 1984); dan Sematan (antologi puisi Hari Puisi Nasional Ke-9, 1985);
Antologi cerpen (3 buah) – Antara Dua Kepercayaan (1985); Suatu Pencarian (1985); dan Kedamaian Yang Hilang (1987);
Antologi drama pentas (sebuah) – Bumiku Oh Bumiku (1987); dan
Antologi esei kritikan (sebuah0 – Wajah Sastera Sarawak (1988).

Melalui beliau DBP cawangan Sarawak, dengan kerjasama Persatuan Kesusasteraan Sarawak, GAPENA dan GPPS menganjur beberapa kegiatan bertaraf kebangsaan seperti:
Seminar Pengembangan Sastera Kebangsaan (1983);
Hari Puisi Nasional (1984); dan
Seminar Persuratkhabaran Melayu di Sarawak (1985).

Di peringkat negeri kegiatan-kegiatan sastera yang berikut turut melibatkan Hamzah dengan PUTERA secara langsung mahupun tidak langsung:
Perkampungan Penulis Sarawak di Kuching (1986);
Pertemuan Sasterawan Nusantara VI di Kuching (1988);
Perkampungan Penulis Sarawak di Miri (1996);
Simposium Penulis Pelbagai Kaum di Miri (1999);
Seminar Penulis Pelbagai Kaum Sarawak di Kuching (2000);
Dialog Borneo-Kalimantan VI di Kuching (2000);
Kembara Sastera Nusantara dari Miri ke Kuching (2001); dan
Hari Sastera XII di Kuching (2001).

Mulai 16 Januari 2002 Hamzah Hamdani kembali bertugas di Sarawak sebagai Pengarah DBP cawangan Sarawak. Apabila DBP cawangan Sarawak meraikan ulang tahun ke-25nya, PUTERA turut dibawa bekerjasama menganjurkan Perkampungan Penulis Sarawak dari 6-8 Jun 2002 di Miri.

Saya sendiri secara peribadinya mengenali Hamzah Hamdani ketika saya menyertai Peraduan Mengarang Sastera Kreatif anjuran DBP dalam tahun 1984. Saya mengemukakan 10 buah puisi dalam kumpulan yang saya namakan Dalam Persinggahan. Antologi itu menang tempat ketiga dan saya kemudiannya dapat tahu Hamzah Hamdani hakimnya. Tempat pertama dimenangi oleh Esmawi Haji Husly dengan kumpulannya Lagu Kenangan dan tempat kedua Saiee Dris dengan kumpulannya Pengertian. Ketiga-tiga antologi berkenaan dibukukan oleh DBP dalam tahun 1986 menggunakan tajuk Lagu Kenangan.

Selepas itu banyak kali saya bersua dengan Hamzah Hamdani dalam pelbagai acara di seluruh negara, sama ada dalam kapasiti beliau sebagai Setiausaha Satu GAPENA atau sebagai pembentang kertas kerja.

Ketokohan beliau disanjungi. Kesungguhan, kegigihan serta iltizam beliau berusaha tanpa penat lelah mentelaah karya-karya penulis di Malaysia mengangkat ramai penulis dalam negara ini, dan dalam kalangan penulis dalam PUTERA tidak terkecuali.

Melalui usaha beliau juga GAPENA banyak berinteraksi dengan PUTERA. Ketua Satu GAPENA Tan Sri Prof Emeritius Ismail Hussein juga tidak jemu-jemu bertandang ke Sarawak, bertanya khabar, berinteraksi dengan penulis-penulis, tidak terkecuali kami dalam PUTERA.

Hamzah ibarat penyu, menetas telur beribu tanpa banyak karenah dan cakap-cakap. Sesungguhnya beliau mentor kami dalam PUTERA.

PUTERA karang tegar dalam samudera sastera

SEPANJANG usia PUTERA 25 tahun ia melihat banyak badan penulis datang dan pergi. PEBAS, Angkatan Karya, GPPS kini hanya tinggal nama sehinggakan PUTERA terpaksa mengambil alih menjadi anggota kerabat GAPENA.

Beberapa buah badan lain tidak sempat mendapat mengiktirafan rasmi pihak ROS seperti Pertubuhan Anak-anak Seni Sri Aman (BENAK), Angkatan Karyawan Kawasan Tengah (ANGKAT), PERMATA di Mukah, SAFINA di Saratok dan Angkatan Karyawan Limbang (AKAL). Angkatan Sasterawan Sarawak (AKSARA) diluluskan penubuhannya pada 26 Julai 2000 namun sehingga kini berita yang terdengar hanyalah cabaran dalam kalangan penerajunya belum menyerlah lagi.

Ketegaran PUTERA berlaku kerana wujudnya sistem membina pemimpin pelapis. Setelah saya dan Jeli berpindah tugas ke Kuching (saya dalam tahun 2001 dan Jeli 2002) akhirnya Zainal Abidin Suhaili mengambil alih teraju pimpinan. Zainal, yang dikenali dengan nama pena Abizai Abi, membuktikan beliau bukan sahaja penyair tersohor Malaysia malah juga seorang pemimpin yang telah mewarisi tradisi berkongsi kuasa amalan PUTERA selama ini. Kini beliau dibantu oleh beberapa penulis yang berpotensi besar seperti Jaya Ramba dan Poul Nanggang. Saya doakan semoga PUTERA terus sihat dan gagah mengharungi cabaran-cabaran baru tanpa noktah.

Penutup

KEPADA pejuang penerus dalam PUTERA ingatlah: Selamat menyambut jubli perak. Teruskan perjuangan kalian. Cuma ingat – jangan jadi pengail yang cekap, berjiwa cekal, berazam kental untuk kemudiannya menjelma menjadi belut yang amat licin.

Sesudah berjaya jangan menjadi labah yang mulutnya mengeluarkan madu tetapi pantatnya mengeluarkan sengat. Biarpun kepala menjangkau langit, jangan lupa bumi dipijak. Perjalanan anda sudah menjangkau beribu batu tetapi jangan lupa anda memulakannya dari langkah satu. Jejak tapak itu amat bermakna, malah ia adalah azimat anda.







No comments: