Tuesday, August 19, 2008

PUTERA

(Kertas kerja ini telah saya bentangkan dalam Kolokium PUTERA sempena ulang tahun ke-25 PUTERA yang diadakan di hotel Dynasty di Miri pada 10-12 Jun 2005)

Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA): Sesuku Abad Memugar Kesinambungan Sastera di Sarawak

Oleh William Chan Khun Neng

Pengenalan

ISTILAH “memugar” dalam konteks yang saya gunakan dalam tajuk pembicaraan ini menggunakan makna kedua perkataan “pugar” seperti pentakrifan Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002) yang membawa maksud “melakukan atau mengerjakan dengan sungguh-sungguh.”

Penjelasan ini penting agar istilah berkenaan tidak dikelirukan dengan pentakrifan yang satu lagi yang membawa makna “memperbaiki atau memperelok semula, membaharui, memulihkan.” Sensitiviti ini penting, bagi saya, kerana ketika kelahiran PUTERA dalam tahun 1980, tradisi sastera sudah pun wujud di Sarawak dan gerakan badan-badan penulis sudah cukup mantap sebelum itu, justeru tiada pembaikan, pemulihan atau pembaharuan yang diperlukan.

Sebelum PUTERA, telah wujud Angkatan Sasterawan Sarawak (ANSSAR) pada tahun 1962; Persatuan Bahasa dan Sastera Malaysia Sarawak (PEBAS) dalam tahun 1970; dan Angkatan Penulis dan Karyawan Malaysia Sarawak (Angkatan Karya) dalam tahun 1979. Kesemua badan ini berpangkalan di Kuching.

Memandangkan saiz negeri Sarawak amat luas (124,449 km persegi) jangkauan ANSSAR, PEBAS dan Angkatan Karya agak sukar diterima oleh ramai peminat dan penikmat seni di sebelah utara Sarawak pada ketika itu. Di Miri pada tahun 1970-an lagi, sudah ramai mereka yang berbakat dan berminat dalam kegiatan kesusasteraan. Mereka merasakan keadaan geografikal Sarawak tidak perlu menjadi penghambat kepada tekad mereka untuk menyertai bidang itu secara aktif, lantas tercapailah persetujuan dalam kalangan mereka ke atas gagasan untuk menubuhkan sebuah badan penulis sebagai wadah untuk menggiatkan gerakan kesusasteraan dari sebelah utara Sarawak.

Sejarah kelahiran PUTERA

PENDAFTARAN PUTERA dilulus secara rasminya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 4 April 1980, setelah usaha ke atas nama asalnya iaitu Gabungan Penulis Utara Sarawak (GUNTUR) yang digagaskan pada Julai 1979 ditolak oleh pihak ROS.

Hasrat untuk menubuhkan sebuah badan penulis di Miri diilhamkan oleh Jeli Bohari Biha, yang pada ketika itu bertugas sebagai editor Sesama Kita, risalah dalaman syarikat multinasional Sarawak Shell Berhad (SSB0 di Lutong. Semasa berada di Kuching sebelum itu beliau telah turut terlibat aktif dalam PEBAS sekitar awal 1970-an.
Muradi Amir, abang kepada Jeniri Amir, yang pada ketika itu bekerja di bahagian peralatan SSB merupakan antara orang pertama dihubungi Jeli, untuk membantu beliau mencari sesiapa yang berminat dalam bidang sastera di sekitar Miri untuk sama-sama membincang tentang penubuhan sebuah badan penulis. Selain Muradi, beberapa orang staf SSB lain seperti Abu Bakar Matassan, Amir Abdullah, Azizah Luntar, Jamilah Sahari, Hamlin Biha, Abang Idin Abang Dabet, serta beberapa nama lagi turut dihimpunkan untuk membantu dalam perbincangan penubuhan persatuan penulis baru itu. Beberapa orang guru, termasuk mereka yang ditugaskan dari Semenanjung Malaysia, juga diterima masuk keahlian mereka dalam badan penaja PUTERA pada peringkat awalnya.

Saya pada ketika itu berkhidmat sebagai guru sandaran di SK Lambir di Kampung Tunku Abdul Rahman. Kebetulan ketika itu saya giat penulis puisi yang kebanyakannya disiar dalam akhbar Sarawak Herald, selain Borneo Bulletin, majalah Jelita, Fantasi, Pelita Pelajar dan lain-lain. Saya dan Muradi memang sudah kenal antara satu sama lain pada ketika itu, lantas beliau pun menyampaikan hasrat Jeli untuk bertemu, yang saya terima dengan dada yang terbuka.

Pertemuan pertama diadakan di Kelab Shell Lutong (KSL) pada satu petang 7 Julai 1979. Kami sebulat suara memilih Abu Bakar Matassan sebagai Ketua Satu badan penaja persatuan, dengan Jeli sebagai Setiausaha Satu. Dipendekkan cerita, kami sering bermesyuarat selepas itu merancang pelbagai kegiatan dan pertemuan sesame peminat dan penikmat sastera di sekitar Miri.

Iklim berkarya yang kondusif

SEMANGAT ahli PUTERA pada peringkat awal penubuhannya meluap-luap kerana kebetulan iklim berkarya pada ketika itu cukup kondusif. Beberapa orang penulis sebelum ini telah bergerak secara individu menghasilkan karya mereka dari Miri seperti Benedict Talip, Ting Mee Ting, Talani Hanapi – sekadar menyebut beberapa nama. Hasil karya mereka sering berkemundang melalui Rancangan Sastera Di Radio terbitan RTM Sarawak, selain disiar dalam beberapa buah akhbar dan majalah tempatan mahupun di peringkat nasional. Berita mengenai wujudnya sebuah badan penulis dilihat sebagai satu wadah yang sesuai untuk mereka bertemu dan berkongsi pengalaman.

Kehadiran Jeli di Miri memberi suatu macam semangat kepada peminat dan penimkat sastera kerana ramai yang pernah mendengar suaranya berkumandang di radio mengendalikan rancangan sastera semasa beliau menjadi guru di SMK Tun Abang Haji Openg di Kuching sebelum beliau bertugas di SSB Lutong pada tahun 1975. Puisi beliau berjudul “Untuk Nurliza” disiarkan dalam Dewan Sastera dalam tahun 1971. Lagipun, beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa PEBAS di Kuching dan turut terlibat secara langsung dalam pengendalian Hari Sastera Kebangsaan Ke-3 dalam tahun 1974. Kesemua ini memberi suatu macam perangsang kepada mereka yang menganggotai PUTERA bahawa mereka bolehlah berkongsi pengalaman dengan seorang yang boleh dikatakan sudah ‘bertapak’ dalam dunia sastera.

Selain itu juga beberapa perkara yang menyumbang ke atas iklim berkenaan seperti berikut:
Dalam tahun 1974 PEBAS dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) berganding bahu menyelenggarakan Hari Sastera Ke-3 di Kuching, dengan biayaan yang cukup besar dri Kerajaan Negeri;
Sejak 1977 lagi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menubuhkan pejabat cawangannya di Kuching dan Kota Kinabalu, mengambil alih peranan Biro Kesusasteraan Borneo yang ditubuhkan pada 1959;
DBP cawangan Sarawak ditubuhkan dengan matlamat: (i) untuk memupuk minat dan penghayatan terhadap sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat di Sarawak; (ii) untuk membina bakat penulisan kreatif dan bukan kreatif dan meningkatkan ciptaan karya sastera kebangsaan di Sarawak; dan (iii) untuk memperbanyakkan bahan penerbitan sastera kebangsaan di Sarawak.
Sehubungan itu DBP cawangan Sarawak telah menjalankan beberapa bentuk kegiatan seperti: (i) Peraduan Menulis Sastera Kreatif dalam semua genre; (ii) memberikan bantuan khidmat nasihat, tenaga dan kewangan kepada persatuan-persatuan penulis, maktab perguruan dan sekolah yang mengadakan kegiatan seminar seminar, ceramah, bengkel penulisan, diskusi buku dan pementasan teater.

Semangat yang meluap-luap mengembang menjadi suatu macam ‘kerakusan’ dalam kalangan pemimpin dan ahli PUTERA untuk menggerakkan jentera sastera itu dengan menganjur kegiatan demi kegiatan. Sebaik menerima kelulusan rasmi pendaftaran PUTERA, terus diadakan Seminar Penulisan Kreatif dalam tahun 1980 di Kelab Shell Lutong, tempat mesyuarat pertama penubuhan jawatankuasa penaja PUTERA dahulu.

Ahmad Kamal Abdullah (KEMALA) dan Hamdan Yahya merupakan tokoh sasterawan kebangsaan yang awal diundang untuk memberi ceramah mereka. Acara itu berjaya membakar terus semangat ingin meneruskan kegiatan seni sastera di utara Sarawak pada ketika itu. Bersempena dengan seminar itu sebuah drama karya Hatta Azad Khan berjudul Mayat dipentaskan dan saya salah seorang pelakonnya.

Rentetan dari peristiwa itu kami berjaya menerbitkan buku-buku berikut:
Puisi-puisi PUTERA dalam tahun 1980 yang memuatkan 72 buah sajak karya 14 penyair;
Majalah Suararasa Anak-anak Seni Sarawak (SUKSES) dalam tahun 1981 dalam dua keluaran iaitu Jun dan Oktober;
Dongeng Kembara dalam tahun 1990; dan
Majalah Suarasa PUTERA dalam tahun 1991.

Dalam tahun 2000 saja PUTERA semakin ‘mengganas’ lagi dengan menerbitkan empat buah antologi puisi serentak iaitu Suara Merdeka (karya Jeli Bohari Biha), Menara Budi (William Chan Khun Neng), Mengenal Yang Asal (Abizai Abi) dan Alak Betatar (Poul Nanggang). Satu usaha yang cukup bermakna ketika PUTERA meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya.


Penulis mapan

‘KEGHAIRAHAN’ PUTERA dalam menganjurkan aktiviti-aktivitinya menemukan kami dalam jawatankuasa PUTERA dengan penulis-penulis tersohor yang bertugas di Miri pada ketika itu seperti Adi Badiozaman Tuah, Awangku Merali, Bedui Une – sekadar menyebut beberapa nama. Mereka ini dijemput menganggotai PUTERA. Oleh kerana perpindahan tugas mereka ke tempat lain, mereka tidak lama berada dalam PUTERA.

Dengan bantuan mereka itu kami berksempatan menganjurkan acara-acara seperti: (i) Bengkel Penulisan Cerpen dan Cerita Kanak-kanak dengan menjemput pembimbing Hamzah Hamdani dan Othman Puteh (1985); (ii) Dialog Borneo 1 di Maktab Perguruan Sarawak, Miri (1987); dan (iii) Perkampungan Puisi Kenyalang 1 di Mukah (1989).

Lewat kegiatan-kegiatan dianjurkan oleh PUTERA peminat dan penikmat sastera di Miri berpeluang bersemuka dengan penulis-penulis idola mereka termasuklah Saiee Dris, Jeniri Amir, Abang Patdeli Abang Muhi serta beberapa penulis dari Semenanjung Malaysia seperti Kemala, Othman Puteh, Hamzah Hamdani, Abdul Ghani Abdullah, Siti Zainon Ismail, A. Samad Said, Abdul Aziz H. M., T. Alias Taib, Dharmawijaya, A. Ghafar Ibrahim, Lim Swee Tin dan beberapa orang lagi.

Penubuhan Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS)

PADA 27 Mac 1982 beberapa orang wakil dari PEBAS, PUTERA dan Angkatan Karya bermesyuarat di Kuching dan sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan sebuah badan induk untuk memayungi semua persatuan penulis yang ada di Sarawak. Nama badan induk itu ialah Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS).

Dalam tahun 1984 GPPS menganjurkan Hadiah Penulis Shell-GPPS dan, bersama-sama dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) menganjurkan Hari Puisi Nasional Ke-9 di Sematan, Kuching. Tiga buah antologi puisi iaitu Sematan, Sayang Sarawak dan Lagu Malam diterbitkan oleh GPPS dalam tahun yang sama. Pada tahun 1985 GPPS diterima sebagai ahli kerabat GAPENA.

Penubuhan Unit Bahasa Malaysia (UBM)

SEMINAR Pelaksanaan Bahasa Malaysia di Sarawak diadakan pada 16-19 September 1980. Hasil dari resolusi seminar itu, Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju menubuhkan Unit Bahasa Malaysia (UBM) di Pejabat Ketua Menteri pada 17 Ogos 1981.

UBM menjadi urus setia bagi semua urusan berkait dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal di Sarawak. Ia bekerjasama dengan DBP cawangan Sarawak mengatur strategi menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu di sektor awam di seluruh jentera pentadbiran di peringkat bahagian dan daerah.



Perhatian DBP & GAPENA terhadap Sarawak

KESUBURAN kegiatan sastera di Sarawak yang dimanifestasikan oleh banyak kegiatan sastera serta penerbitan banyak buku ternyata sekali menambat perhatian pihak DBP dan GAPENA untuk terus membimbing penyuburan bakat di Bumi Kenyalang.

DBP dan GAPENA mengadakan satu acara yang cukup bermakna bagi peminat dan penikmat sastera di Sarawak seperti Bengkel Penulisan Kreatif Wilayah Sabah dan Sarawak yang diadakan dalam dua siri (Siri 1: 2-3 Mac 1982 dan Siri 2: 25-26 Oktober 1982).

Hasil dari bengkel lahir antologi cerpen Surat Dari Pulau (1985) memuatkan hasil karya 9 cerpenis Sarawak dan 7 cerpenis Sabah. Cerpenis Sarawak yang diketengahkan terdiri dari Benedict Talip, Hajijah Jais, Jais Sahok, Jong Chian Lai, Muhammad Dris, Noor Azlina Abdullah Jong, Shahri Abdul Rahman,Teresa Chong dan Zakaria Embi.

Perhatian DBP dan GAPENA ke Sarawak itu sering tidak mengabaikan ahli PUTERA. Setiap kali ada acara pasti PUTERA dikhabarkan dan dijemput menghantar wakil, baik untuk acara dalam negeri mahupun di luar seperti di Kuala Lumpur, Sabah mahupun di Wilayah Persekutuan Labuan, Indonesia dan Brunei.

Pendirian Kerajaan Negeri Sarawak

PADA 17 Mei 1985 Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud memutuskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri bahawa:

“Kita telah mengambil keputusan supaya tidak lagi menyambungkan tempoh dengan mana bahasa lain akan juga menjadi bahasa rasmi. Dengan keputusan demikian, maka tidaklah pihak-pihak di luar Dewan yang mulia ini boleh menuduh bahawa kita tidak ada keazaman untuk benar-benar meletakkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, sama, sejajar dengan negeri-negeri lain. Kita, selepas menolak ke tepi kemungkinan tuduhan demikian berlaku, terus memandang apa yang kita boleh buat untuk menjayakan supaya Bahasa Malaysia akan menjadi bahasa yang disukai dan digunakan oleh rakyat sebagai bahasa perpaduan.”

Ekoran daripada keputusan tersebut maka Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haji Awang Zaidell telah mengumumkan bahawa mulai 1 Jun 1985 Bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi yang tunggal bagi negeri Sarawak.

Pada September 1985 program Bulan Bahasa dilancarkan secara besar-besaran di Padang Merdeka, Kuching. Program ini berterusan sehingga 1998.

Mulai tahun 1999 apabila diwujudkan program Bulan Bahasa dan Sastera di peringkat kebangsaan maka di Sarawak nama program ditukar kepada Bulan Bahasa dan Sastera Negara peringkat negeri Sarawak. Program ini mendapat peruntukan kewangan besar dari Kerajaan Negeri Sarawak dan diadakan secara bergiliran dalam setiap bahagian pentadbiran negeri. Dalam semua kegiatan itu PUTERA sering dirujuk dan bantuan pemimpin dan ahli PUTERA selalu diminta. Jeli, Abizai Abi dan saya sendiri banyak kali dijemput menjadi hakim Sayembara Deklamasi Puisi di peringkat daerah.

Hamzah Hamdani sebagai Mentor

TIDAK dapat tidak disebut, Hamzah Hamdani berperanan yang amat signifikan dalam perkembangan sastera di Sarawak. Keakraban beliau dengan PUTERA tidak dapat dinafikan. Ketika beliau ditugaskan sebagai Ketua Unit Bahasa dan Sastera dari 1 Januari 1983 hingga 30 April 1996 Hamzah berpendirian:

“Keinginan saya ialah untuk melihat para penulis Sarawak mencapai kemajuan yang tinggi dalam kualiti ciptaan mereka, standing dengan penulis-penulis segenerasi dengan mereka di peringkat kebangsaan.” (Hamzah Hamdani, 2004: (xii).”

Sepanjang tempoh tersebut beliau telah bertanggungjawab menjadi editor Majalah Dewan Perintis untuk bacaan kanak-kanak dan remaja dan Buletin Bahasa yang menjadi sumber maklumat kegiatan DBP cawangan Sarawak dalam bidang bahasa, sastera dan penerbitan.

Hamzah juga berjaya menyelenggarakan buku-buku berikut:
Antologi puisi (3 buah) – Tuhan, Kita Begitu Dekat (antologi puisi rohaniah, 1984); Gema Membelah Gema 7 (antologi Hari Puisi Nasional Ke-9, 1984); dan Sematan (antologi puisi Hari Puisi Nasional Ke-9, 1985);
Antologi cerpen (3 buah) – Antara Dua Kepercayaan (1985); Suatu Pencarian (1985); dan Kedamaian Yang Hilang (1987);
Antologi drama pentas (sebuah) – Bumiku Oh Bumiku (1987); dan
Antologi esei kritikan (sebuah0 – Wajah Sastera Sarawak (1988).

Melalui beliau DBP cawangan Sarawak, dengan kerjasama Persatuan Kesusasteraan Sarawak, GAPENA dan GPPS menganjur beberapa kegiatan bertaraf kebangsaan seperti:
Seminar Pengembangan Sastera Kebangsaan (1983);
Hari Puisi Nasional (1984); dan
Seminar Persuratkhabaran Melayu di Sarawak (1985).

Di peringkat negeri kegiatan-kegiatan sastera yang berikut turut melibatkan Hamzah dengan PUTERA secara langsung mahupun tidak langsung:
Perkampungan Penulis Sarawak di Kuching (1986);
Pertemuan Sasterawan Nusantara VI di Kuching (1988);
Perkampungan Penulis Sarawak di Miri (1996);
Simposium Penulis Pelbagai Kaum di Miri (1999);
Seminar Penulis Pelbagai Kaum Sarawak di Kuching (2000);
Dialog Borneo-Kalimantan VI di Kuching (2000);
Kembara Sastera Nusantara dari Miri ke Kuching (2001); dan
Hari Sastera XII di Kuching (2001).

Mulai 16 Januari 2002 Hamzah Hamdani kembali bertugas di Sarawak sebagai Pengarah DBP cawangan Sarawak. Apabila DBP cawangan Sarawak meraikan ulang tahun ke-25nya, PUTERA turut dibawa bekerjasama menganjurkan Perkampungan Penulis Sarawak dari 6-8 Jun 2002 di Miri.

Saya sendiri secara peribadinya mengenali Hamzah Hamdani ketika saya menyertai Peraduan Mengarang Sastera Kreatif anjuran DBP dalam tahun 1984. Saya mengemukakan 10 buah puisi dalam kumpulan yang saya namakan Dalam Persinggahan. Antologi itu menang tempat ketiga dan saya kemudiannya dapat tahu Hamzah Hamdani hakimnya. Tempat pertama dimenangi oleh Esmawi Haji Husly dengan kumpulannya Lagu Kenangan dan tempat kedua Saiee Dris dengan kumpulannya Pengertian. Ketiga-tiga antologi berkenaan dibukukan oleh DBP dalam tahun 1986 menggunakan tajuk Lagu Kenangan.

Selepas itu banyak kali saya bersua dengan Hamzah Hamdani dalam pelbagai acara di seluruh negara, sama ada dalam kapasiti beliau sebagai Setiausaha Satu GAPENA atau sebagai pembentang kertas kerja.

Ketokohan beliau disanjungi. Kesungguhan, kegigihan serta iltizam beliau berusaha tanpa penat lelah mentelaah karya-karya penulis di Malaysia mengangkat ramai penulis dalam negara ini, dan dalam kalangan penulis dalam PUTERA tidak terkecuali.

Melalui usaha beliau juga GAPENA banyak berinteraksi dengan PUTERA. Ketua Satu GAPENA Tan Sri Prof Emeritius Ismail Hussein juga tidak jemu-jemu bertandang ke Sarawak, bertanya khabar, berinteraksi dengan penulis-penulis, tidak terkecuali kami dalam PUTERA.

Hamzah ibarat penyu, menetas telur beribu tanpa banyak karenah dan cakap-cakap. Sesungguhnya beliau mentor kami dalam PUTERA.

PUTERA karang tegar dalam samudera sastera

SEPANJANG usia PUTERA 25 tahun ia melihat banyak badan penulis datang dan pergi. PEBAS, Angkatan Karya, GPPS kini hanya tinggal nama sehinggakan PUTERA terpaksa mengambil alih menjadi anggota kerabat GAPENA.

Beberapa buah badan lain tidak sempat mendapat mengiktirafan rasmi pihak ROS seperti Pertubuhan Anak-anak Seni Sri Aman (BENAK), Angkatan Karyawan Kawasan Tengah (ANGKAT), PERMATA di Mukah, SAFINA di Saratok dan Angkatan Karyawan Limbang (AKAL). Angkatan Sasterawan Sarawak (AKSARA) diluluskan penubuhannya pada 26 Julai 2000 namun sehingga kini berita yang terdengar hanyalah cabaran dalam kalangan penerajunya belum menyerlah lagi.

Ketegaran PUTERA berlaku kerana wujudnya sistem membina pemimpin pelapis. Setelah saya dan Jeli berpindah tugas ke Kuching (saya dalam tahun 2001 dan Jeli 2002) akhirnya Zainal Abidin Suhaili mengambil alih teraju pimpinan. Zainal, yang dikenali dengan nama pena Abizai Abi, membuktikan beliau bukan sahaja penyair tersohor Malaysia malah juga seorang pemimpin yang telah mewarisi tradisi berkongsi kuasa amalan PUTERA selama ini. Kini beliau dibantu oleh beberapa penulis yang berpotensi besar seperti Jaya Ramba dan Poul Nanggang. Saya doakan semoga PUTERA terus sihat dan gagah mengharungi cabaran-cabaran baru tanpa noktah.

Penutup

KEPADA pejuang penerus dalam PUTERA ingatlah: Selamat menyambut jubli perak. Teruskan perjuangan kalian. Cuma ingat – jangan jadi pengail yang cekap, berjiwa cekal, berazam kental untuk kemudiannya menjelma menjadi belut yang amat licin.

Sesudah berjaya jangan menjadi labah yang mulutnya mengeluarkan madu tetapi pantatnya mengeluarkan sengat. Biarpun kepala menjangkau langit, jangan lupa bumi dipijak. Perjalanan anda sudah menjangkau beribu batu tetapi jangan lupa anda memulakannya dari langkah satu. Jejak tapak itu amat bermakna, malah ia adalah azimat anda.







Ke arah pengglobalisasian karya sastera Malaysia

KE ARAH PENGGLOBALISASIAN KARYA SASTERA MALAYSIA
oleh William Chan Khun Neng
(Kertas Kerja ini telah saya bentangkan di Perkampung Penulis Sarawak 1996
anjuran bersama GAPENA dan PUTERA
pada 29-31 Disember 1996
di Kampung Sukan Petronas, Miri.
Tema perkampungan ini ialah "Penulis dan Media Massa: Impian dan Pelaksanaan Melalui Kerjasama)
Pengenalan
SEWAJARNYALAH kita menuntut peningkatan mutu dalam karya sastera kita. Sepatutnyalah kita menganjak kedudukan sastera kita dari takok biasa di peringkat "jaguh kampung" ke tahap kualiti yang boleh dinikmati oleh konsumer sastera di peringkat "kampung jagat".
Hal ini amat dituntut kerana kedudukan masyarakat penulis sebagai anggota bangsa Malaysia yang menuju ke arah kegemilangan masa depannya turut berperanan menampilkan citra bangsanya di khalayak dunia lewat karya sastera yang mengungkapkan suara dan rasa serta sikap dan budaya Malaysia di gelanggang antarabangsa.
Bagi karyawan Malaysia yang lahir dalam masyarakat majmuk, seni yang ditampilkannya mestilah hasil karya seni yang berdenyut-nadikan cita-cita heterogenity Malaysia yang bercirikan kesatuan dalam kepelbagaian, tanda perpaduan dalam keaneka-ragaman yang cukup menakjubkan dunia luar dengan kemampuan negara kita mencapai kemajuan yang menyaingi masyarakat homogenous di tempat-tempat lain di dunia.
Senario ini jelas membawa makna ada satu impian yang amat besar yang dituntut oleh masyarakat penulis itu sendiri, dikongsikan oleh konsumer sastera yang lebih luas, malahan juga oleh khalayak masyarakat umumnya.
Impian
ADALAH menjadi impian utama agar sebanyak mungkin karya kreatif Malaysia - puisi, cerpen, skrip drama dan novel - yang mengungkapkan suara dan rasa warga Malaysia supaya layak diterjemahkan ke pelbagai bahasa dunia untuk dikenal oleh dunia luar agar aspirasi dan citarasa Malaysia sebagai anggota masyarakat dunia dapat dikenali dan dihormati.
Ketika suara politik kita sudah lantang menyuarakan pendirian Malaysia di gelanggang antarabangsa ekoran wujudnya kestabilan politik domestiknya yang memungkinkan pula kewujudan kekukuhan ekonomi, adalah menjadi satu macam obligasi masyarakat penulis pula untuk menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa kejayaan bangsa Malaysia bukannya sorak-sorai bersifat full of sound and fury but signifying nothing.
Penulis juga mesti membesihkan pandangan songsang yang menuduh mereka (masyarakat penulis) sebagai sebahagian dari kalangan seniman yang berupa manusia aneh yang hanya pandai menguruskan diri mereka saja, tidak pandai merancang, kurang mengeluarkan pandangan intelektual, dan dungu dalam membuat sebarang penilaian sosial.
Pelaksanaan
IMPIAN itu terlalu besar bunyinya. Mungkin ada yang berpendapat ia terlalu tinggi untuk digapai. Namun, mahu tidak mahu, masyarakat penulis tiada pilihan lain selain dari memiliki jiwa besar jika mahu mampu bertahan dari hakisan ombak kemajuan global yang rakus.
Untuk merealisasikan impian ini masyarakat penulis mesti menghadapi cabaran dengan memperolehi kerjasama dari pelbagai pihak serta menghulur juga kerjasama dengan mereka, bukan bertindak sendirian dalam kalangan mereka sahaja. Dalam konteks pembicaraan kertas kerja ini yang berlandaskan tema Perkampung Penulis Sarawak 1996 yang berbunyi Penulis dan Media Massa: Impian dan Pelaksanaan Melalui Kerjasama, "kerjasama" difokuskan antara penulis dan media massa saja.
Kerjasama
KERJASAMA yang amat terasa yang diterima oleh masyarakat penulis sejak mutakhir ini datangnya dari Kerajaan Negeri Sarawak sendiri yang mewujudkan Anugerah Sastera Sarawak disamping Kementerian Pembangunan Sosial sanggup membeli buku karya penulis Sarawak untuk diedarkan ke perpustakaan di seluruh negeri. saha ini adalah langkah untuk menggalakkan para penulis agar terus-terusan menghasilkan karya yang bermutu tinggi tentunya.
Kerjasama yang cukup bermakna dan signifikan juga diterima dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak (DBPCS) yang ditubuhkan secara rasminya pada 1 Januari 1977 dengan tujuan, antara yang utamanya, "untuk memperbanyakkan hasil dan bahan untuk diterbitkan dalam bahasa kebangsaan serta meningkatkan mutu sastera kebangsaan di Sarawak" (Cita Bahasa Wahana Bangsa, DBP, 1991).
Insentif, galakan dan kewujudan pelbagai media, baik media elektronik mahupun media cetak, dalam menampung hasil tulisan penulis Sarawak sehingga kini memang jelas amat menggalakkan dan membuktikan betapa golongan penulis tidak lagi terbiar persis perenang yang menongkah arus kesesiaan.
Belum pernah wujud sebelum ini panggilan begitu kuat menjemput golongan penulis agar sederap memainkan peranan membantu membina struktur sosial masyarakat yang positif, untuk membangunkan minda rakyat. Begitu hebat peranan penulis. Amat besar cabarannya. Mulia sekali pengiktirafan yang diberikan.
Media Massa
DI SARAWAK akhbar dan radio berperanan penting sebagai alat komunikasi yang boleh menyampaikan mesej ke sebahagian besar kawasan negeri yang luasnya sebesar seluruh Semenanjung Malaysia.
Setakat ini Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan pemilik utama radio dan sudah pun berperanan penting dalam menampung hasil tulisan berbentuk pantun, puisi, cerpen serta drama radio. Rancangan sasteranya bukan setakat di rangkaian nasionalnya melalui siaran seluruh negeri malahan juga pada rangkaian tempatan di masing-masing stesyen tempatan di bandar-bandar utama seperti Sri Aman, Sibu, Kapit, Miri-Bintulu dan Limbang dalam masa yang terhad.
Kewujudan sebuah stesyen radio swasta, Radio Kenyalang, nampaknya sudah mulai menyemaikan bakat penulisan puisi sedikit demi sedikit, namun audiensnya nampakanya masih terbatas, malahan ada dari kalangan penduduk Sarawak sendiri yang masih belum menyedari kewujudan ruangan karya tulisan kreatif sebegitu lagi.
Televisyen yang ibu pejabatnya berpangkalan di Kuala Lumpur terbatas sambutannya bagi pengembangan sastera sumbangan penulis dari Sarawak kerana keterhadan slotnya. Penubuhan sebuah stesyen TV swasta masih belum terlaksana lagi dan belum pasti sama ada ia akan mewujudkan ruang dan peluang bagi karya kreatif.
Seorang penyair Sarawak, Saudara Saiee Dris dari RTM Sarawak, pernah melontarkan pendapatnya bahawa "oleh kerana ciri-ciri tertentu" kejayaan radio dalam penghidupan sastera masih belum lengkap dan beliau menyarankan "kejayaan akan menjadi lebih sempurna sekiranya Sarawak mempunyai akhbar bahasa Malaysia keluarannya sendiri." (Peranan dan sumbangan RTM dalam perkembangan dan penghidupan sastera di Sarawak. Kertas kerja Manifestasi Budaya Sarawak 1 di Miri, 1980).
Impian Saiee menjadi kenyataan apabila akhbar Utusan Sarawak dihidupkan semula pada awal 1993. Dengan barisan pengarang, penulis dan wartawan seperti Jeniri Amir, Haji Abdul Aziz Malim, Mohammad Kassim, Awang Rosli Awang Jaya, William Chan, Othman Ibrahim, Ibrahim Mahsen, Ibrahim Gani, Wan Ali Amit, Haslinda Nong Chee dan rakan-rakan mereka, Utusan Sarawak yang berbantut penerbitannya pada 30 Januari 1971, setelah 22 tahun wujud, menjadi akhbar yang semakin berpengaruh sebagai akhbar berbahasa Melayu sepenuhnya di Sarawak. Ia berupaya menyaingi akhbar nasional seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia.
Menurut Saudara Mohammad Dris: "Sepanjang tempoh dari 1949 hingga 1971 Utusan Sarawak telah berjaya menyiarkan sebanyak 457 buah puisi, 91 buah cerpen, 29 buah rencana mengenai sastera dan sekurang-kurangnya 48 buah ulasan cerpen dan sajak telah diterbitkan dalam akhbar ini." (Wajah Sastera Sarawak, DBP, 1988 halaman 69). Selain Utusan Sarawak, sebuah lagi wadah media cetak yang turut membantu dalam pengembangan sastera di negeri ini ialah Cermin Rakyat yang berupa sisipan dalam akhbar tabloid bahasa Inggeris The People's Mirror.
Editor/Penerbit
PENULIS perlu menerima dan memberi kerjasama daripada dan kepada editor dan penerbit. Hanya melalui kerjasama dua hala sajalah maka impian mengangkat martabat sastera kita dapat dilaksanakan dengan penuh berkesan. Mansor Ahmad Saman dalam tulisannya "Peranan dan tanggungjawab editor dalam penerbitan (Media Di Malaysia, DBP 1983) banyak menggariskan kerjasama yang harus pihak editor hulurkan kepada penulis.
Editor yang menangani akhbar, majalah, jurnal dan seumpamanya, haruslah berpengetahuan luas dalam bidang sastera, teliti dalam kerjanya dan "dia haruslah menjadi kawan dan penasihat kepada penulis." kata Mansor. Kriteria ini juga dituntut dari penerbit rancangan sastera di radio dan TV.
Di pihak penulis perlu pula mengawal egoisme yang melulu dan memahami konsep serta pendekatan sesebuah akhbar, majalah, jurnal, penerbit radio dan TV.
Proaktif
DALAM hal ini seseorang penulis mestilah bersikap proaktif, mesti gigih, tekun dan berwawasan dalam menghasilkan karyanya yang berkualiti tinggi dan tidak membiarkan perkara remeh temeh membantutkan usahanya ke arah menghasilkan magnum opus.
Masyarakat penulis mesti menerima hakikat bahawa oleh kerana mereka bergelar penulis maka adalah tanggungjawab mereka, dan mereka sahaja, untuk menghasilkan karya dalam kuantiti dan kualiti yang boleh dibanggakan sebagai aset Malaysia. Sikap tuding menuding jari menuduh pihak lain membantutkan usaha mereka menghasilkan karya sastera adalah tindakan persis "membuka pekong di dada."
Kesimpulan
PENULIS dan media massa perlu jitu dalam impian bersama mengangkat martabat sastera Malaysia ke tahap antarabangsa dan perlu melaksanakan impian itu melalui kerjasama dua hala. Dicadangkan agar wujud pertemuan yang konsisten dalam kalangan penulis dengan editor serta penerbit media massa demi memastikan kelancaran penghasilan karya sastera yang bermutu dalam bilangan yang banyak. Kerjasama antara penulis dan media massa berupa sebahagian persiapan infrastruktur yang cukup penting.

Saturday, August 16, 2008

Pengalaman Sebagai Penyair

CATATAN KEMBARA DALAM PERSINGGAHAN: Pengalaman Sebagai Penyair
oleh William Chan Khun Neng
(Kertas Kerja yang telah saya bentangkan pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum pada 17-19 September 1999 di hotel Holiday Inn Miri)


PENGENALAN

HIDUP manusia di dunia ini adalah satu persinggahan dalam kembaranya sejak dari rahim ibu sehinggalah ke saat liang lahad menganga untuk menyambut sekujur jasadnya yang terhenti berdenyut, lalu kaku pada noktah kembaranya. Saya membuat banyak catatan tika kembara ini lewat sajak-sajak yang merupakan wadah yang amat saya senangi.

Saya merasakan selesa sekali melakar pengalaman, pengamatan dan tafsiran tentang peristiwa-peristiwa yang bergolak di persekitaran - baik mengenai soal peribadi, mahupun soal sosiopolitik di dalam dan luar negara. Dalam mengusahakan catatan demi catatan tersemat harapan dalam diri saya mudah-mudahan lakaran itu kemudian nanti terjelma menjadi jejak-jejak atau diari kehidupan yang layak ditelaah, diamati dan ditafsirkan pula oleh orang yang menyusuli kembara ini.

Saya menjunjung budi pihak penganjur yang telah memasukkan saya untuk diberi penghormatan mengongsikan pengalaman tentang turut-giatnya kami yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu dalam kegiatan persuratan Melayu.

LATAR PENDIDIKAN/KERJAYA

AKTA Pelajaran 1961 hanya diperpanjangkan ke Sarawak mulai 1976. Saya telah menamatkan persekolahan saya lima tahun sebelum itu, jadi tidak berkesempatan dididik dalam aliran bahasa Melayu. Tetapi saya telah berupaya menguasai bahasa Melayu secara alamiah, hasil dari latar belakang keluarga serta pergaulan luas dengan masyarakat Melayu itu sendiri.

Di sekolah saya telah memilih bahasa Melayu sebagai optional subject untuk memperolehi sijil Senior Cambridge. Waktu saya bersekolah hanya tiga orang saja yang mengambil bahasa Melayu di St Joseph's Secondary School di Miri, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh Catholic Missionary. Dua rakan lain saya yang mengambil bahasa Melayu ialah Mohdzar Aman dan Rasnan Arbi.

Saya juga mengambil mata pelajaran English Literature untuk Senior Cambridge. Kami banyak membaca karya William Shakespeare seperti Midsummer Night's Dream, Romeo & Juliet dan seumpamanya, serta novel To Kill A Mockingbird, selain sajak-sajak karya penyair-penyair besar seperti William Wordsworth, Robert Frost dan beberapa nama lagi.

Di sekolah diajar juga cerpen karya Joseph Conrad, Dylan Thomas, Bernard Malamud, John Steinbeck dan beberapa lagi nama besar, tetapi daya tarikan bagi saya tetap lebih kuat pada karya puisi daripada prosa.

Apabila saya mendapat tawaran bekerja sebagai guru sandaran di SK Lambir pada 1980 saya tidak sedikit pun merasa kekok mengajar dalam aliran bahasa Melayu. Malah, episod itu membantu memantap-kejapkan lagi penguasaan bahasa Melayu saya walaupun cuma dalam jangka waktu sesingkat tiga tahun sebagai pendidik.

Semasa menganggur selepas tamat sekolah, semasa mengajar, dan semasa saya berkhidmat dengan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) selama enam tahun saya banyak menulis secara sambilan untuk beberapa buah akhbar tempatan dan turut menyumbang tulisan kreatif dan deskriptif kepada media nasional. Selain menulis sajak saya menulis juga berita dan rencana.

Akhirnya pada 15 Ogos 1989 saya ditawarkan oleh sebuah akhbar tabloid The People's Mirror sebagai wartawan sepenuh masa. Akhbar ini ada sisipan bahasa Melayunya yang dinamakan Cermin Rakyat. Walaupun kakitangan lainnya dibahagikan - ada yang berkhidmat untuk menulis berita dalam bahasa Inggeris untuk Mirror sahaja, ada yang menulis dalam bahasa Melayu untuk Cermin Rakyat sahaja - namun saya diberi kelonggaran untuk menulis untuk kedua-duanya sekali.

Hal ini dilanjutkan sehingga sekarang apabila saya dilantik sebagai Ketua Biro bagi wilayah utara untuk Sarawak Tribune dan Utusan Sarawak.

LATAR BELAKANG KELUARGA

SAYA dilahirkan di Kampung Dagang, Miri pada 1956. Papa saya (mendiang) Chan Eng Geok dilahir dan dibesarkan di Kampung Penakub Ulu di Mukah dan menggelar dirinya berketurunan Cina-Melanau kerana ibunya adalah orang Melanau. Menurut ceritanya kepada kami semasa kami masih kecil lagi isterinya yang pertama juga seorang Melanau. Setelah memperolehi empat orang anak, yang kesemuanya lelaki, isteri Papa meninggal dunia akibat sakit dan kemudiannya beliau berkahwin dengan Mama saya (mendiang) Ripol bte Tiban yang berasal dari Kampung Tellian Tengah, Mukah.

Kata Mama, mereka berdua berhijrah ke Miri kerana Mukah, selepas Perang Jepun, adalah sebuah tempat yang tidak cocok untuk mencari rezeki lagi. Papa saya bekerja sebagai buruh dan banyak menjelajah Ke Limbang dan Lawas. Adik-adik saya Daniel, Grace, Darot dan Irene dilahirkan di Miri. Masa kecil kami adik-beradik banyak sekali bergaul dengan jiran kami yang kebanyakannya orang Melayu. Di rumah kami bercakap bahasa Melanau. Papa sering berpergian, kadangkala berminggu-minggu, jadi kami terus terasuh oleh ibu menggunakan bahasa Melanau. Lagipun, hubungan mereka berdua renggang.

Ketika adik beradik saya seronok bermain patung-patungan dan seumpamanya hanya saya seorang yang galak dan asyik membaca komik dan majalah Melayu, manakala Mama pula meminati filem Melayu dan Hindustan di pawagam. Ada kalanya, Mama membawa kami adik beradik menonton filem Melayu.

Sebahagian usia kecil saya dihabiskan di sebuah kampung nelayan, iaitu Kampung Kuala Bakam, yang penghuninya terdiri dari kalangan masyarakat Melanau. Saya mendapat pendidikan awal di Kampung Bakam Council School di bawah asuhan paman saya, iaitu adik Mama yang berkeinginan benar kepada anak kerana pasangan itu tidak punya anak. Hidup agak sunyi di kampung nelayan ini. Pasangan ibu bapa angkat saya itu mendisiplinkan saya terlalu ketat, tidak digalakkan terlalu sangat bergaul, malah tidak dibenarkan banyak bertemu dengan ibu kandung dan abang adik saya.

Dalam kesunyian saya menghabis kebanyakan masa senggang dengan mendengar siaran radio, membaca komik, surat khabar, buku dan majalah yang kebanyakannya dalam bahasa Melayu. Dalam persekitaran sunyi yang tiada banyak gangguan saya menjadi seorang pembaca yang amat rakus pada usia masih muda. Apa saja bahan bacaan, termasuk surat khabar lama yang diperolehi sebagai bungkusan dari kedai, menjadi bahan bacaan saya. Minat saya cenderung kepada pantun, syair, seloka dan seumpanya kerana saya tertarik dengan rima dan ritme karya-karya tersebut. Saya menghayati ruangan sastera di radio yang dikendalikan pada awal tahun 70-an dan 80-an oleh, antara beberapa orang seperti Madzhi Johari, Saiee Dris dan Jeli Bohari Biha ketika Jeli mengajar di Kuching.

PENUBUHAN PUTERA

PADA tahun 1979 saya terdengar Jeli Bohari Biha berhasrat untuk mewujudkan sebuah badan penulis di Miri. Jeli (yang saya minati kerana saya berpendapat caranya mengendalikan ruangan sastera di radio cukup menarik) bekerja sebagai pengarang sebuah penerbitan dalaman Sarawak Shell Berhad di Lutong pada ketika itu. Tidak lama kemudian jadilah kami dengan beberapa rakan berhimpun di Kelab Shell Lutong pada 7 Julai 1979 membincang mengenai penubuhan Gabungan Penulis Utara Sarawak yang kami akronimkan sebagai GUNTUR tetapi nama itu tidak direstui oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS). Daya kreatif Jeli cepat mendorongnya menukar nama menjadi Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) yang secara rasmi dilulus pendaftarannya pada 1980.

Puisi-puisi PUTERA

Bolehlah dikatakan tahun 1980 merupakan titik mula PUTERA aktif sebagai sebuah badan penulis di Bumi Kenyalang. Antologi Puisi-puisi PUTERA diterbitkan oleh PUTERA pada 1980, hasil usaha gigih Jeli Bohari Biha yang berjaya menghimpunkan seramai 14 orang penulis sajak dengan hasil 72 buah karya mereka. Jeli, yang pada ketika itu berpengalaman sebagai pengarang sebuah risalah dalaman Shell, terus menerajui penerbitan Majalah SUKSES (yang merupakan singkatan bagi Suarasa Anak-anak Seni) yang diterbitkan oleh PUTERA pada Jun 1981 dan Oktober 1981.

PENUBUHAN GPPS

Pada 27 Mac 1982 persidangan wakil-wakil persatuan penulis Sarawak yang berdaftar terdiri dari PEBAS, PUTERA dan Angkatan Karya telah sebulat suara bersetuju menubuhkan Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS).

Pengwujudan badan induk ini menggerakkan keyakinan para penggiat sastera di negeri ini untuk memikul amanah oleh badan induk persatuan penulis di Malaysia iaitu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) untuk menganjurkan Hari Puisi Nasional Ke-9 di Sematan, Kuching pada tahun 1984.
Saya sendiri tidak berpeluang menghadiri acara itu tetapi sempat menghantar dua buah sajak kepada jawatankuasa pengelolanya yang menerbit antologi puisi "Sayang Sarawak". Sajak saya mengenai Balan Nyareng yang diceritakan oleh Galvin A. D. dalam bukunya "On the Banks of the Baram" saya olah menjadi sebuah sajak yang saya judulkan "Batang Baram" yang disiarkan dalam antologi berkenaan, selain sajak mengenai pengamatan saya tentang dilema yang orang hadapi apabila janji tidak ditepati dalam sajak "Mungkir?"
PROJEK BAHASA & SASTERA

Saya masih ingat kesibukan membantu rakan-rakan lain mengendali pelbagai projek berkaitan kebahasaan dan kesusasteraan seperti:

  • Bengkel Penulisan Cerpen/Cerita Kanak-kanak di SMK Dato Permaisuri di Miri pada 1985;
  • Mengendalikan rancangan Sastera Di Radio dengan kerjasama RTM Miri pada 1986;
  • Menganjur Dialog Borneo (yang pertama) di Maktab Perguruan Sarawak di Jalan Bakam, Miri pada 27 hingga 29 November 1987;
  • menghadiri Hari Puisi Nasional ke-10 di Kota Kinabalu pada 1987;
  • Menganjur Perkampungan Puisi Kenyalang di Mukah pada 11 hingga 13 Disember 1989;
  • Menyertai Dialog Borneo 2 di Kota Kinabalu pada 1989;
  • Menganjur Sayembara Penulis Cerpen dan Puisi PUTERA yang dilancarkan oleh Jeli Bohari Biha pada Malam Puisi Miri di Dewan Suarah Miri pada 5 Jun 1990;
  • Menerbit antologi puisi kedua berjudul "Dongeng Kembara" pada 1990 sempena ulang tahun ke-10 PUTERA;
  • Menghadiri Dialog Teluk 3 di Limbang pada 1990; dan
  • Menerbitkan majalah Suarasa PUTERA pada Oktober 1991.

Krisis PUTERA-GPPS

Pada 1991 saya berpindah tugas ke Kuching sebagai Timbalan Editor The People's Mirror dan Cermin Rakyat. Semasa saya di Kuching tercetus satu krisis dalam GPPS apabila beberapa orang anggota penting dalam GPPS meletak jawatan tanda protes terhadap tulisan Sang Kancil berjudul "GPPS Gagal Memenuhi Cita-cita dan Harapan Sebagai Induk Persatuan-persatuan Penulis Di Sarawak" yang termuat dalam Majalah Suarasa PUTERA dan menganggap tulisan itu tidak benar dan tidak adil.

Jeli Bohari Biha juga meletak jawatan sebagai Ketua 1 PUTERA "kerana sebagai pemimpin saya rasa bertanggungjawab membiarkan tulisan yang menyinggung perasaan orang GPPS disiarkan."

Semasa di Kuching saya turut diundang ke Majlis Pengucapan Puisi Hari Bandaraya pada 1992 yang juga turut dihadiri oleh Sasterawan Negara A. Samad Said. Saya mendeklamasi puisi ciptaan saya sendiri berjudul "Potret Bosnia-Herzegovina."

Bangsawan Panji Asmara

Pada 1993 saya kembali ke Miri. Pada 14 dan 15 Ogos 1993, sempena perayaan ulang tahun ke-30 Sarawak Merdeka Melalui Malaysia, PUTERA membantu Kerajaan Negeri dan RTM Miri menganjur pentas bangsawan berjudul "Panji Asmara" di Dewan Suarah Miri.

Bergiat terus

Penglibatan saya dalam kegiatan sastera berterusan. Saya menyertai Perkampungan Penulis GAPENA zon Sarawak di Kuching pada 1994 dan menyertai Manifestasi Budaya di Kuching pada 1995.

Pada tahun 1995 juga saya mengajak Pharo Abdul Hakim, Abizai Abi, Hipani Alwi dan Rafaiee Haji Ismail (dari Bintulu) menerbit antologi puisi berjudul "Simfoni Dari Utara" dan meminta JA Communications milik Jeniri Amir di Kuching untuk menerbitkannya. Antologi itu dilancarkan secara rasminya oleh Sasterawan Negara A. Samad Said di Dewan Sri Tanjung pada tahun itu.

Saya turut terlibat menganjur Perkampungan Penulis Sarawak 1996 di Kampung Sukan Petronas Miri pada 29-31 Disember 1996 dan membentang sebuah kertas kerja berjudul "Ke Arah Pengglobalisasian Sastera Malaysia." Saya menghadiri Dialog Teluk 4 di Kota Kinabalu pada 10-14 Julai 1997.

LANDASAN PROSES PENCIPTAAN KARYA

SENGAJA saya ceritakan kesemua ini kerana pengamatan saya terhadap setiap liku hidup saya, termasuk setiap kegiatan seni yang saya libatkan, sedikit banyaknya melandaskan proses penciptaan karya saya.

Saya bersetuju bahawa "dunia kesusasteraan mampu membawa kita meneroka dan menghayati setiap inci peristiwa kehidupan dan peradaban manusia sejak zaman bahari lagi hingga ke hari ini, seperti kata A. Aziz Deraman, Ketua Pengarah DBP (dalam buku cenderamata Minggu Sastera di Alor Setar, Kedah pada Ogos 1997).

Betullah seperti kata A. Samad Said bahawa "tanpa kekacauan, tanpa rasa gundah, tanpa kesengsaraan, karya seni tidak menjadi." (Berbenihnya Sebuah Puisi, Berita Harian 28 Januari 1989).

Mengertilah saya pada apa yang dimaksudkan oleh Muhamad Haji Salleh: " ... saya mengumpul cebisan-cebisan dunia yang ditemui lewat pengalaman konkritnya kerana dunia itu adalah dunianya sendiri, betapa pun buruk atau bertaburan. Itulah yang ada dan harus dimengertikan oleh penyair." (Proses Kreatif Muhammad Haji Salleh, Dewan Sastera September 1997).

SUMBER ILHAM

SAYA banyak membaca majalah berbahasa Inggeris, Dolphins, yang diterbitkan oleh Borneo Literature Bureau dalam tahun 1960-an dan 1970-an. Tulisan-tulisan mengenai cerita rakyat tempatan oleh penulis tempatan dalam majalah itu menambat minat saya.

Salah sebuah buku yang saya minati dan masih simpan sehingga sekarang ialah karya Galvin A. D. "On the Banks of the Baram" (1972) mengenai watak Balan Nyareng yang terpisah dengan isterinya Bungan Lisu yang baru saja lapan hari dikahwini kerana isterinya mati ekoran terlanggar pantang larang. Balan mengembara ke Alo malau, alam orang mati, kerana hendak mengambil kembali isterinya. Hasil bacaan ini terilham sajak saya berjudul "Batang Baram" yang disiarkan dalam antologi Sayang Sarawak (1984) dan Puisi-puisi Kenyalang 2 (1987).

Saya juga meminati sajak-sajak Usman Awang, dan sajak Bunga Popi amat memikatkan saya. Di antara sajak terawal saya ialah sajak berjudul "Seterus Di Bumi Jaya" yang diterbitkan oleh Borneo Bulletin pada 1971. Stail tulisan terikut-ikut gaya Usman Awang. Ketika usia 15 tahun saya sudah peka betapa ancaman komunis mengganggu kemerdekaan. Semangat nasionalisme yang banyak saya dengar melalui radio dan temui dalam pembacaan saya mengilhamkan karya awal saya itu. Ada semacam kelegaan dalam diri saya apabila anggota Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) yang dipimpin oleh Bong Kee Chok di Sarawak menyerah diri dan meletak senjata di Simanggang (kini dinamakan Sri Aman) pada 21 Oktober 1973.

Sebuah lagi sajak saya yang disiar dalam Dewan Perintis terbitan DBP juga menunjukkan stail Usman Awang. Sayang keratan sajak itu hilang dalam simpanan saya. Saya banyak membaca sajak-sajak beberapa penyair tersohor seperti Latiff Mohiddin, Moechtar Awang, Supardi Joko Damono, Sutardji Calzoum Bachri, A. Samad Said, T. Alias Taib, Kemala, Siti Zainon Ismail, Dharmawijaya, Chairil Anwar, Zaen Kasturi, Lim Swee Tin, dan Adi Badiozaman Tuah. Saya betul-betul tertegun dengan kepetahan mereka ini sehinggakan selepas Kemala diundang oleh PUTERA memberi ceramahnya dalam satu seminar sastera di Lutong pada tahun 1980 lahir sajak "Penyair X" yang berbunyi: "rupanya dialah yang kutemui dalam puisi/bersembunyi di balik kata-kata dan aku tertegun/bermandikan makna lantas membeli puisinya."

"Sungai Bakam: Balutan Sebuah Memori: saya ciptakan ketika berusia 19 tahun apabila saya kembali ke kampung itu setelah bekerja di tempat lain. Ketika duduk di tebing sungai itu ingatan kembali mengalir lesu, selesu air sungainya yang membayangkan sebuah hidup yang melankolik semasa saya kecil, pahit dan meninggalkan kesan kenangan yang amat mendalam.

Sajak "Dalam Senja Ini Aku Rasa Sangat Sunyi" merakamkan kesunyian saya pada ketika saya 'terkurung' oleh disiplin ketat keluarga angkat saya dan pengertian mengenai kehidupan sedemikian tersembul dalam sajak berjudul "Pengertian" dan "Soalan". Dalam mengingatkan hidup yang melankolik saya sedar betapa tidak gunanya ada rintihan. Saya memotivasikan diri saya lewat sajak-sajak seperti "Bayanganmu", "Di Mana Suara Kenari?" "Setiap Siang Yang Datang", "Aku Berpuisi", dan "Rebah dan Bangun." Saya melihat kita perlu memberanikan diri menghadapi hidup ini dengan penuh keyakinan dan minda yang positif.

Persahabatan

Saya juga amat mementingkan persahabatan dalam hidup saya. Sehingga kadangkala saya dapat terasa betapa sensitifnya saya mengenai isu persahabatan. Pernah ada beberapa sahabat saya yang dulunya akrab, kemudian terpisah oleh tuntutan tugas, dan apabila bertemu kembali, keakraban itu tiba-tiba hilang entah ke mana. Saya pun bermonolog dalam sajak saya: "kau nampakkah/titi silaturahim/di hujung jabat tangan ini/runtuh tak semena-mena/dan aku menggaru kepada/kesulitan mentafsir/makna sebuah keterasingan/yang tiba-tiba/menjarakkan perpisahan?" (Sahabat, 1975).

Kadangkala saya dalam dilema menghadapi kesulitan apabila berlaku perselisihan faham dengan sahabat yang sukar untuk dimengertikan: "terasa diri terlalu dungu/dan kata-kata pun/tak terangkaikan/fikiran kian/dilaknati kekalutan/jaring-jaring dilema/dan aku lipat kertas putih itu/lalu menyarungnya/tanpa sepatah kata." (Tika Membalas Surat Birumu, 1975).

Keakraban sebuah persahabatan biasanya amat menyulitkan kita untuk berpisah: "bukan/bukan kerana/telah luruh adabku/bila tidak menghantarmu/tika kau hendak berangkat pergi/sebenarnya/sebenarnya kerana/telah terbuku rasa hiba/menyumbat rongga jantungku/mengenang saat perpisahan.' (Saat Perpisahan, 1993).

Melihat dan mendengar

Saya mementingkan imageri-imageri yang segar dan kuat dalam sajak-sajak saya dengan cuba mengamati kehidupan sepenuh mungkin. Saya sentiasa berusaha menjadi pemerhati yang tajam dan pendengar yang setia untuk berupaya memikir tentang kehidupan ini sebaik mungkin. Saya yakin, apa pun jua bentuk kehidupan yang kita lalui, pasti ada hikmahnya.

Ada kalanya sajak-sajak saya bersumberkan mimpi seperti "Dalam Persinggahan 2", kadangkala semata-mata imaginasi seperti "Dendang Perantau" dan "Jacinta", atau cuma satu fantasi seperti dalam "Tika Satu Hari Hujan Di Sebuah Restauran & Sebuah Dongeng". Saya turut merasa terdorong untuk merendamkan diri dalam lautan sastera apabila dapat tahu Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak ditubuhkan pada 1977 menggantikan Borneo Literature Bureau yang wujud sejak 15 September 1958.

APA KATA MEREKA?

Jeniri Amir: "Penyajak berbakat yang cukup menjanjikan harapan ialah Wilham Niah. "Mungkir?" yang begitu lumayan dengan unsur metafora cuba melontarkan perasaan hampanya terhadap janji yang telah dimungkiri oleh seseorang yang menunggu. Setakat manakah insan bisa bersabar bila sudah dikepung oleh keadaan resah dan marah? Bukankah kesabaran itu ada hadnya? Tetapi nampaknya dalam sajak ini Wilham seakan menyarankan sesuatu untuk terus bersabar dalam menunggu. Dalam sajak yang penuh dengan unsur personifikasi "Tunggu" dia cuba menjawab persoalan di atas. Dalam kedua-dua buah sajaknya ini ternyata Wilham begitu berhati-hati dalam pemilihan diksi dan metafora supaya dapat melahirkan kesegaran dan kejituan pada persoalan yang dibicarakan.

"Wilham Chan telah pun membuktikan bakatnya dengan memenangi beberapa hadiah peraduan menulis puisi dan kejayaannya menempatkan diri dalam media terkenal tanah air. Puisinya tumbuh daripada pengalamannya yang panjang dan berliku. Sebahagiannya tercetus hasil daripada pengamatan dan renungan yang tajam dan mendalam terhadap persoalan yang dibangkit dalam masyarakat dan negara. Sebagai penyair, persoalan demkian tidak terlepas begitu saja. Di sebaliknya ia menyegarkan dan menyuburkan daya kreativitinya.

"Sesungguhnya Wilham adalah pemerhati yang tajam yang menerima pengalaman baru dan rasa penuh tanggungjawab. Wilham adalah penyair yang setia kepada pengalamannya meski bagaimana pedih dan pahit pun pengalaman tersebut. Salah satu ciri yang membezakannya daripada penyair lain ialah baris dan nada pengucapannya singkat-singkat - yang akhirnya mencanai identiti atau peribadinya. Bagaimana pun, dalam kesingkatan pengucapan itulah beliau memadukan segala unsur yang membangunkan puisinya. Pengalaman, fikiran, perasaan dan renungannya terasa kental untuk ditinggalkan kesan yang kejap dan indah." (Bicara Puisi, Simfoni Dari Utara, JA Communications, 1994).

Hamzah Hamdani; "Sajak-sajak Chan Khun Neng dalam antologi "Dalam Persinggahan" menggunakan lukisan alam untuk memaparkan perasaan dan pemikiran mengenai kehidupan manusia. Sajak-sajak Chan Khun Neng memperlihatkan kekuatan dalam pemilihan kata dan makna yang cuba disampaikannya. Ringkas, tetapi cuba membawakan pengertian yang mendalam dan mengajak pembaca merenung maknya yang tersirat." (Kata Pengantar, Lagu Kenangan, DBP, 1986).

Jeli Bohari Biha: "Antara penyair bukan Melayu di negeri Sarawak yang prolifik dan cukup kuat penguasaan bahasanya ialah William Chan K. N. Kerana itulah beliau pernah memenangi hadiah dalam beberapa peraduan penulisan puisi yang dianjurkan oleh DBP yang dimanifestasikan dalam antologi bersama Lagu Kenangan bersama pemenang-pemenang yang lain seperti Saiee Dris dan Mohd Esmawi Haji Husly. William Chan banyak sekali menggunakan unsur-unsur alam dan manusianya untuk merakamkan pengalamannya, pandangannya, falsafahnya dan harapannya. ... Meskipun kini giat dalam penulisan deskriptif sebagai wartawan, pena William akan terus tajam." (Prolog, Dongeng Kembara, PUTERA, 1990).

PENUTUP

BILANGAN warganegara Malaysia yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu tetapi berupaya menguasainya kian meningkat hasil dari dasar pelajaran negara yang mewajibkan aliran bahasa Melayu. Ini satu petanda yang baik. Namun, usaha perlu digigihkan seterusnya dalam mempertingkatkan daya kekreatifan mereka supaya usaha untuk memertabatkan bahasa kebangsaan kita sebagai bahasa kebudayaan dan ilmu pengetahuan akan menjadi satu realiti menakjubkan.

Biarlah ciri kemajmukan masyarakt kita ibarat cabang-cabang sungai yang bertemu menjadi satu untuk keluar melalui muara, atau ibarat dahan-dahan pada pokok yang mengongsi akar melalui pohon yang satu.