Tuesday, August 19, 2008

Ke arah pengglobalisasian karya sastera Malaysia

KE ARAH PENGGLOBALISASIAN KARYA SASTERA MALAYSIA
oleh William Chan Khun Neng
(Kertas Kerja ini telah saya bentangkan di Perkampung Penulis Sarawak 1996
anjuran bersama GAPENA dan PUTERA
pada 29-31 Disember 1996
di Kampung Sukan Petronas, Miri.
Tema perkampungan ini ialah "Penulis dan Media Massa: Impian dan Pelaksanaan Melalui Kerjasama)
Pengenalan
SEWAJARNYALAH kita menuntut peningkatan mutu dalam karya sastera kita. Sepatutnyalah kita menganjak kedudukan sastera kita dari takok biasa di peringkat "jaguh kampung" ke tahap kualiti yang boleh dinikmati oleh konsumer sastera di peringkat "kampung jagat".
Hal ini amat dituntut kerana kedudukan masyarakat penulis sebagai anggota bangsa Malaysia yang menuju ke arah kegemilangan masa depannya turut berperanan menampilkan citra bangsanya di khalayak dunia lewat karya sastera yang mengungkapkan suara dan rasa serta sikap dan budaya Malaysia di gelanggang antarabangsa.
Bagi karyawan Malaysia yang lahir dalam masyarakat majmuk, seni yang ditampilkannya mestilah hasil karya seni yang berdenyut-nadikan cita-cita heterogenity Malaysia yang bercirikan kesatuan dalam kepelbagaian, tanda perpaduan dalam keaneka-ragaman yang cukup menakjubkan dunia luar dengan kemampuan negara kita mencapai kemajuan yang menyaingi masyarakat homogenous di tempat-tempat lain di dunia.
Senario ini jelas membawa makna ada satu impian yang amat besar yang dituntut oleh masyarakat penulis itu sendiri, dikongsikan oleh konsumer sastera yang lebih luas, malahan juga oleh khalayak masyarakat umumnya.
Impian
ADALAH menjadi impian utama agar sebanyak mungkin karya kreatif Malaysia - puisi, cerpen, skrip drama dan novel - yang mengungkapkan suara dan rasa warga Malaysia supaya layak diterjemahkan ke pelbagai bahasa dunia untuk dikenal oleh dunia luar agar aspirasi dan citarasa Malaysia sebagai anggota masyarakat dunia dapat dikenali dan dihormati.
Ketika suara politik kita sudah lantang menyuarakan pendirian Malaysia di gelanggang antarabangsa ekoran wujudnya kestabilan politik domestiknya yang memungkinkan pula kewujudan kekukuhan ekonomi, adalah menjadi satu macam obligasi masyarakat penulis pula untuk menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa kejayaan bangsa Malaysia bukannya sorak-sorai bersifat full of sound and fury but signifying nothing.
Penulis juga mesti membesihkan pandangan songsang yang menuduh mereka (masyarakat penulis) sebagai sebahagian dari kalangan seniman yang berupa manusia aneh yang hanya pandai menguruskan diri mereka saja, tidak pandai merancang, kurang mengeluarkan pandangan intelektual, dan dungu dalam membuat sebarang penilaian sosial.
Pelaksanaan
IMPIAN itu terlalu besar bunyinya. Mungkin ada yang berpendapat ia terlalu tinggi untuk digapai. Namun, mahu tidak mahu, masyarakat penulis tiada pilihan lain selain dari memiliki jiwa besar jika mahu mampu bertahan dari hakisan ombak kemajuan global yang rakus.
Untuk merealisasikan impian ini masyarakat penulis mesti menghadapi cabaran dengan memperolehi kerjasama dari pelbagai pihak serta menghulur juga kerjasama dengan mereka, bukan bertindak sendirian dalam kalangan mereka sahaja. Dalam konteks pembicaraan kertas kerja ini yang berlandaskan tema Perkampung Penulis Sarawak 1996 yang berbunyi Penulis dan Media Massa: Impian dan Pelaksanaan Melalui Kerjasama, "kerjasama" difokuskan antara penulis dan media massa saja.
Kerjasama
KERJASAMA yang amat terasa yang diterima oleh masyarakat penulis sejak mutakhir ini datangnya dari Kerajaan Negeri Sarawak sendiri yang mewujudkan Anugerah Sastera Sarawak disamping Kementerian Pembangunan Sosial sanggup membeli buku karya penulis Sarawak untuk diedarkan ke perpustakaan di seluruh negeri. saha ini adalah langkah untuk menggalakkan para penulis agar terus-terusan menghasilkan karya yang bermutu tinggi tentunya.
Kerjasama yang cukup bermakna dan signifikan juga diterima dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak (DBPCS) yang ditubuhkan secara rasminya pada 1 Januari 1977 dengan tujuan, antara yang utamanya, "untuk memperbanyakkan hasil dan bahan untuk diterbitkan dalam bahasa kebangsaan serta meningkatkan mutu sastera kebangsaan di Sarawak" (Cita Bahasa Wahana Bangsa, DBP, 1991).
Insentif, galakan dan kewujudan pelbagai media, baik media elektronik mahupun media cetak, dalam menampung hasil tulisan penulis Sarawak sehingga kini memang jelas amat menggalakkan dan membuktikan betapa golongan penulis tidak lagi terbiar persis perenang yang menongkah arus kesesiaan.
Belum pernah wujud sebelum ini panggilan begitu kuat menjemput golongan penulis agar sederap memainkan peranan membantu membina struktur sosial masyarakat yang positif, untuk membangunkan minda rakyat. Begitu hebat peranan penulis. Amat besar cabarannya. Mulia sekali pengiktirafan yang diberikan.
Media Massa
DI SARAWAK akhbar dan radio berperanan penting sebagai alat komunikasi yang boleh menyampaikan mesej ke sebahagian besar kawasan negeri yang luasnya sebesar seluruh Semenanjung Malaysia.
Setakat ini Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan pemilik utama radio dan sudah pun berperanan penting dalam menampung hasil tulisan berbentuk pantun, puisi, cerpen serta drama radio. Rancangan sasteranya bukan setakat di rangkaian nasionalnya melalui siaran seluruh negeri malahan juga pada rangkaian tempatan di masing-masing stesyen tempatan di bandar-bandar utama seperti Sri Aman, Sibu, Kapit, Miri-Bintulu dan Limbang dalam masa yang terhad.
Kewujudan sebuah stesyen radio swasta, Radio Kenyalang, nampaknya sudah mulai menyemaikan bakat penulisan puisi sedikit demi sedikit, namun audiensnya nampakanya masih terbatas, malahan ada dari kalangan penduduk Sarawak sendiri yang masih belum menyedari kewujudan ruangan karya tulisan kreatif sebegitu lagi.
Televisyen yang ibu pejabatnya berpangkalan di Kuala Lumpur terbatas sambutannya bagi pengembangan sastera sumbangan penulis dari Sarawak kerana keterhadan slotnya. Penubuhan sebuah stesyen TV swasta masih belum terlaksana lagi dan belum pasti sama ada ia akan mewujudkan ruang dan peluang bagi karya kreatif.
Seorang penyair Sarawak, Saudara Saiee Dris dari RTM Sarawak, pernah melontarkan pendapatnya bahawa "oleh kerana ciri-ciri tertentu" kejayaan radio dalam penghidupan sastera masih belum lengkap dan beliau menyarankan "kejayaan akan menjadi lebih sempurna sekiranya Sarawak mempunyai akhbar bahasa Malaysia keluarannya sendiri." (Peranan dan sumbangan RTM dalam perkembangan dan penghidupan sastera di Sarawak. Kertas kerja Manifestasi Budaya Sarawak 1 di Miri, 1980).
Impian Saiee menjadi kenyataan apabila akhbar Utusan Sarawak dihidupkan semula pada awal 1993. Dengan barisan pengarang, penulis dan wartawan seperti Jeniri Amir, Haji Abdul Aziz Malim, Mohammad Kassim, Awang Rosli Awang Jaya, William Chan, Othman Ibrahim, Ibrahim Mahsen, Ibrahim Gani, Wan Ali Amit, Haslinda Nong Chee dan rakan-rakan mereka, Utusan Sarawak yang berbantut penerbitannya pada 30 Januari 1971, setelah 22 tahun wujud, menjadi akhbar yang semakin berpengaruh sebagai akhbar berbahasa Melayu sepenuhnya di Sarawak. Ia berupaya menyaingi akhbar nasional seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia.
Menurut Saudara Mohammad Dris: "Sepanjang tempoh dari 1949 hingga 1971 Utusan Sarawak telah berjaya menyiarkan sebanyak 457 buah puisi, 91 buah cerpen, 29 buah rencana mengenai sastera dan sekurang-kurangnya 48 buah ulasan cerpen dan sajak telah diterbitkan dalam akhbar ini." (Wajah Sastera Sarawak, DBP, 1988 halaman 69). Selain Utusan Sarawak, sebuah lagi wadah media cetak yang turut membantu dalam pengembangan sastera di negeri ini ialah Cermin Rakyat yang berupa sisipan dalam akhbar tabloid bahasa Inggeris The People's Mirror.
Editor/Penerbit
PENULIS perlu menerima dan memberi kerjasama daripada dan kepada editor dan penerbit. Hanya melalui kerjasama dua hala sajalah maka impian mengangkat martabat sastera kita dapat dilaksanakan dengan penuh berkesan. Mansor Ahmad Saman dalam tulisannya "Peranan dan tanggungjawab editor dalam penerbitan (Media Di Malaysia, DBP 1983) banyak menggariskan kerjasama yang harus pihak editor hulurkan kepada penulis.
Editor yang menangani akhbar, majalah, jurnal dan seumpamanya, haruslah berpengetahuan luas dalam bidang sastera, teliti dalam kerjanya dan "dia haruslah menjadi kawan dan penasihat kepada penulis." kata Mansor. Kriteria ini juga dituntut dari penerbit rancangan sastera di radio dan TV.
Di pihak penulis perlu pula mengawal egoisme yang melulu dan memahami konsep serta pendekatan sesebuah akhbar, majalah, jurnal, penerbit radio dan TV.
Proaktif
DALAM hal ini seseorang penulis mestilah bersikap proaktif, mesti gigih, tekun dan berwawasan dalam menghasilkan karyanya yang berkualiti tinggi dan tidak membiarkan perkara remeh temeh membantutkan usahanya ke arah menghasilkan magnum opus.
Masyarakat penulis mesti menerima hakikat bahawa oleh kerana mereka bergelar penulis maka adalah tanggungjawab mereka, dan mereka sahaja, untuk menghasilkan karya dalam kuantiti dan kualiti yang boleh dibanggakan sebagai aset Malaysia. Sikap tuding menuding jari menuduh pihak lain membantutkan usaha mereka menghasilkan karya sastera adalah tindakan persis "membuka pekong di dada."
Kesimpulan
PENULIS dan media massa perlu jitu dalam impian bersama mengangkat martabat sastera Malaysia ke tahap antarabangsa dan perlu melaksanakan impian itu melalui kerjasama dua hala. Dicadangkan agar wujud pertemuan yang konsisten dalam kalangan penulis dengan editor serta penerbit media massa demi memastikan kelancaran penghasilan karya sastera yang bermutu dalam bilangan yang banyak. Kerjasama antara penulis dan media massa berupa sebahagian persiapan infrastruktur yang cukup penting.

No comments: